بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم

Berpegang kamu kepada tali Allah dan janganlah kamu berpecah-belah.

Sunday, May 26, 2013

Ada Apa Dalam Beg Tangan Wanita

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang lebih taqwanya di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam pengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)


(Surah al-Hujurat: Ayat 13)

Wanita menarik nafas lebih kerap daripada lelaki, manakala lelaki menarik nafas lebih dalam daripada wanita. Sistem badan lelaki dan wanita pun tidak sama. Lelaki lebih banyak memerlukan oksigen berbanding wanita supaya mereka dapat menukarnya menjadi tenaga.


Kulit lelaki lebih kasar berbanding kulit wanita yang lebih halus. Wanita lebih halus halus suaranya berbanding lelaki yang lebih besar dan kasar suaranya. Lelaki mempunyai tulang anggota yang lebih panjang berbanding wanita. Tulang wanita bukan sekadar lebih kecil malah susunannya berbeza disebabkan wanita diciptakan oleh Allah SWT dengan struktur tubuh untuk melahirkan anak.   

Demikian juga dengan psikologi. Wanita secara umum lebih bersikap mudah mengikut kata hati, lebih berminat kepada cinta dan kasih sayang dan hubungan perasaan.


Apabila menggamati sesuatu benda, kedua-duanya juga berbeza. Lelaki lebih banyak menggunakan pengamatan tumpuan. Manakala wanita pula menggunakan pengamatan yang luas dan membesar. Pengamatan lelaki ibarat cahaya laser yang menumpu kepada sesuatu objek. Manakala pengamatan wanita ibarat lampu suluh, yang membuka, menampakkan banyak benda. Wanita mahu mengambil tahu semua perkara. Daripada perkara kecil sehingga perkara yang lebih besar. Sementara lelaki hanya menumpukan kepada matlamat utama.


Cuba perhatikan kepada wanita, apa yang mereka bawa apabila berjalan keluar rumah. Tengok sahaja pada beg tangan mereka. Lebih besar daripada lelaki. Lelaki membawa beg kecil sahaja. Di dalamnya hanya ada lesen memandu, duit, surat-surat penting dan kad-kad bank / kredit.


Dalam beg tangan wanita semuanya ada. Di dalam beg tangan wanita ada dompet duit, kad kreditm buku bank, buku cek, alat persolekan, cermin, tisu muka, pengetip kuku, kunci, pensil @ pen, ubat sakit kepala, gambar suami, gambar anak, handphone dan macam-macam lagi .


Kenapa sedemikian dilakukan oleh wanita? Jawabnya kerana wanita memikirkan pelbagai kemungkinan perkara yang boleh berlaku. Mereka lebih peka, apabila sesuatu terjadi, persediaan sudah pun dilakukan. Ini bermakna pemikiran dan penumpuan wanita lebih lebar. Pada lelaki cukup dengan lesen memandu dan duit. Sebab mereka mahu sampai ke matlamat. Duit untuk membeli, lesen memandu supaya selamat daripada disoal polis.


Demikian perbezaan yang wujud antara lelaki dan wanita. Kerana itu, tidak hairan apabila suami isteri ini melihat banyak perkara secara berbeza. Urusan-urusan rumahtangga kadang-kadang ditangani secara berbeza. Contohnya suami isteri yang kedua-duanya bekerja, terpaksa keluar rumah awal pagi.


Dalam banyak hal, wanita bekerja yang paling kerap bersungut. Suaminya, apabila keluar sahaja dari rumah, yang dibawa hanya kunci kereta, masuk ke dalam kereta dan hidupkan enjin, kemudian menunggu isteri. Matlamat mereka ke pejabat. Manakala si isteri, memikirkan apa yang anak bawa ke sekolah, baju di ampaian siapa hendak ambil, anak belum pakai baju lagi, anak belum makan lagi. Kalau boleh, si isteri mahu memikirkan semua benda, kerana padanya apabila sesuatu terjadi, apakah kesudahannya.


Apabila suami dan isteri ke kompleks beli belah. Si isteri, apabila masuk sahaja ke pusat beli belah dia melihat banyak benda dahulu, satu persatu, perlahan-lahan dari atas ke bawah, kain ini dipegang, diperhatikan. Kemudian pegang pula kain lain, selepas berjam-jam barulah dibuat pilihan membeli. Pendek kata, si suami yang menjadi pengikut setia mudah bosan. Bagi lelaki apabila hendak membeli sesuatu, terus dituju ke tempat yang ingin dibeli dan membeli. Membeli belah pada lelaki tidak mengambil masa yang lama.


Contoh-contoh tersebut menunjukkan cara wanita mengamati sesuatu berbeza daripada lelaki. Sebab itu, jangan bergaduh selepas membeli belah, jangan bergaduh ketika mahu ke tempat kerja. Si isteri jangan putus asa melihat si suami, apabila keluar sahaja dari rumah terus masuk kereta. Tanpa mahu mengangkat botol susu anak, kain lampin dan berbagai-bagai lagi untuk ke bawa ke rumah pengasuh.


Akuilah kita berbeza. Perbezaan bukan untuk bermusuh, sebaliknya supaya saling bantu membantu dan berkasih sayang. Jangan disebabkan perbezaan pada cara berkasih sayang antara suami dan isteri, maka timbul krisis rumahtangga berpuluh tahun. Tentulah kerana perbezaan yang ada antara kita, maka kita lebih berkasih sayang. Kerana itu kita berbeza supaya saling mengenali dan berkasih sayang.



Nama pun dah berbezakan, LELAKI dan PEEREMPUAN. Kerana perbezaan inilah kita dapat bersatu dan berkasih sayang.



Salam sayang dari
Syila Rapal

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.