بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم

Berpegang kamu kepada tali Allah dan janganlah kamu berpecah-belah.

Labels

Showing posts with label Motivasi. Show all posts
Showing posts with label Motivasi. Show all posts

Saturday, December 5, 2015

Tip Mendidik Anak Menjadi Soleh dan Solehah



Setiap ibu bapa pasti ingin memiliki anak-anak yang soleh dan solehah. Anak adalah anugerah dan amanah Allah SWT. Mereka ibarat kain putih yang suci dan bersih. Ibu bapalah yang berperanan untuk mencorakkan agar ia kelihatan cantik dan di pandang indah.


Pembentukkan akhlak yang elok dan indah itu adalah menjadi tanggungjawab yang perlu dipikul dengan amanah oleh ibu bapa berlandaskan syariat Islam sejak dari dalam perut lagi.


Namun tidak dinafikan kalau zaman sekarang ini yang penuh dengan cabaran, ada anak-anak yang nakal, keras hati serta agresif. Allah pasti menurunkan ujian kepada hambaNya mengikut kemampuannya, jadi sebagai seorang hamba kita perlu redha dengan ketentuan Allah dan bijak menangani cabaran ini.


Sebagai ibu bapa pasti tidak mahu anak-anaknya terus membesar dengan akhlak yang tidak baik. Jadi kita sebagai ibu bapa perlulah membentuk akhlak yang lebih baik. 


Di antara tip yang boleh dilakukan untuk mendidik anak menjadi soleh dan solehah:

1.   Wujudkan suasana Islamik melalui pergaulan dan pendidikan.

Salah satu faktor terpenting untuk mendidik anak-anak menjadi anak yang soleh dan solehah adalah dengan memberikan pendidikan Islam sejak dari kecil lagi, pendidikan Islam dapat membentuk akhlak yang lebih baik dan berwawasan Islam. Bagi cara ini ibu bapa boleh mula mendedahkan cara kehidupan Islam dan sunnah sejak mereka masih kecil lagi. Insya Allah, segala pertuturan dan akhlak mereka akan lebih sopan.


2.   Biasakan membangunkan anak-anak pada waktu Subuh.

Seseorang yang bangun di waktu subuh merupakan orang-orang yang serupa dengan orang yang rajin dan taat agama, walaupun orang dewasa sahaja masih belum tentu untuk bangun wktu subuh secara rutin. Maka itu, membangunkan anak-anak pada waktu subuh merupakan hal yang sangat digalakkan untuk ibu-ibu lakukan agar anak-anak terbiasa melakukan kegiatan ini sejak kecil lagi. Selepas itu suruhlah anak-anak mengerjakan solat Subuh, lama kelamaan mereka akan terbiasa dengan aktiviti-aktiviti yang sering mereka lakukan.


3.   Berikan Contoh yang baik.

Biasanya orang tua hanya akan memerintah anak-anaknya untuk menjadi anak yang baik, rajin solat, rajin mengaji dan sebagainya, namun demikian hal-hal ini perlu jugak dilakukan oleh ibu bapa agar dapat menjadi panduan kepada mereka. Ibu bapa adalah contoh yang terbaik untuk anak-anak. Jadi apabila kita berkehendak untuk anak-anak menjadi anak yang soleh dan solehah, kita perlu memberi teladan pada mereka. Jangan salahkan anak-anak jika mereka tidak menjadi seperti apa yang kita harapkan bila kita sebagai orang tuanya tidak memberikan contoh yang terbaik.


4.   Pelancongan Islamik.

usah sering membawa anak-anak di Shopping Mall atau tempat-tempat yang boleh terdedah dengan perkara-perkara yang kurang elok. Sekali sekala bawalah mereka di masjid-masjid, majlis-majlis berunsurkan islamik dan sebagainya yang mana dapat mendedahkan cara-cara hidup orang islam.


5.   Memberitahu batas-batas aurat sejak kecil.

Kebiasaannya ibu bapa akan memakai pakaian pada anak-anak mengikut perkembangan zaman dan fesyen. Pakaikan pakaian yang menutup aurat dengan sempurna sejak kecil lagi bagi membiasakan mereka apabila sudak meningkat besar. Sebaik-baiknya jelaskan pada mereka kepentingan menutup aurat dan juga dosa-dosa apabila tidak menutup aurat dengan sempurna. Insya Allah, niat yang baik Allah akan permudahkan.


6.   Ajarkan pada mereka mengenai solat sejak kecil.

Walaupun hakikat anak-anak masih tidak memahami sepenuhnya kepada perlu solat tetapi bila kita solat depan mata mereka, mereka dengan sendirinya akan melakukan perkara yang sama seperti orang dewasa lakukan. Adakalanya anak-anak yang mula terbiasa akan mengajak kita solat apabila tiba masanya.


7. Elakkan mendengarkan perkara-perkara yang tidak memberi manfaat.

Pada era sekarang ini, pelbagai jenis muzik yang ada. Sebagai ibu bapa, kita perlu dedahkan pada mereka jenis-jenis lagu yang memberi manfaat kepada mereka. Ada lebih baik, anak-anak didedahkan dengan lagu-lagu yang berkonsepkan islamik dan berbentuk nasihat. 


8.   Perhatikan tontonan TV anak-anak.

Perhatikan apa yang di tonton anak-anak di rumah. Walaupun ianya berbentuk kartun kerana anak-anak mudah mengikut apa yang diperlihatkan. Ada juga cerita kartun yang tidak memberi manfaat anak-anak. Apatah lagi cerita-cerita yang tidak sepatutnya di pertonton kepada anak-anak seperti filem cinta, seram ataupun berunsurkan keganasan.


9.   Ciptakan suasana keluarga yang harmoni.

Berikan anak sebuah kehangatan dan ketenteraman dalam sebuah keluarga. Jika ibu dan ayah ada perselisihan faham, seeloknya dielakkan perbincangan di hadapan anak-anak. Keluarga yang baik akan membentuk peribadi anak yang baik juga. Keluarga yang baik adalah faktor utama yang akan menjadi ikutan anak-anak.


Sumber : http://bunda-lita.blogspot.my/2014/05/cara-mendidik-anak-agar-soleh-dan-soleha.html

Sunday, July 26, 2015

Tangani masalah anak "On the spot"!


Setiap anak pasti akan melakukan kesilapan dan kenakalan. Anak yang besar, anak yang kecil, sama sahaja. Cuma bentuk kenakalan dan kesalahan mereka sahaja yang berbeza. Kali ini kami bawakan satu parenting tips yang mudah dan sesuai untuk menangani anak-anak kecil yang nakal.



Sebaik sahaja kita berjaya menangkap anak kita melakukan kesilapan, apa yang kita perlu buat? Tegur on the spot! Ini adalah mekanisma mendidik anak tentang “do and don't s” dan “damage control”. Ia mengajar anak tentang “rules and regulations, boundary and limitation” sejak bayi lagi.





Mari kita lihat contoh ini.




Kita lihat anak kita yang berumur tiga tahun mencubit adiknya yang masih kecil. Apa yang perlu dibuat? Terus tegur dan hukum mereka? ataupun tunggu ayahnya balik dan kemudian laporkan kepada ayahnya untuk diambil tindakan?




Tindakan pertama akan segera menghentikan perlakuan mencubit adik itu, dan memberikan mesej kepada anak bahawa apa yang dilakukannya itu salah. Tindakan kedua akan menghimpunkan kesemua kesalahan anak yang telah dihukum pada hari itu, dan ditegur/dihukum kesemuanya pada malam hari.




Anak-anak kecil terutamanya yang belum bersekolah banyak melakukan kesilapan dan kenakalan setiap hari. Ini disebabkan oleh sifat mereka yang suka mencuba, suka mengikut-ikut apa yang mereka lihat, serta masih tidak tahu lagi mana yang betul dan mana yang salah. Ada yang mereka lakukan itu baik, dan pasti juga ada banyak yang salah. Selain itu, memang sifat anak-anak kecil ini tidak mampu untuk mengingati kesemua yang mereka lakukan untuk satu tempoh masa yang panjang. Mereka juga masih keliru dengan masa.




Oleh itu, setiap kali kita mendapati anak kita melakukan sesuatu kesalahan, maka perlulah kita menegur mereka pada ketika itu juga, ketika ditangkap melakukan kesalahan tersebut. Jika kesalahan itu besar atau berulang dan perlu dihukum, hukumlah mereka pada ketika itu juga. Rotan, ketuk ketampi, time frame, atau apa-apa hukuman yang bersesuaian. Berbanding dengan menghimpunkan kesemua kesalahan yang mereka telah lakukan dalam tempoh sehari, dan dinasihati/dihukum pada penghujung hari, kaedah ini adalah kurang berkesan berbanding tegur on the spot. Mengapa?




Pertama, daya ingatan anak-anak. Jika ditegur dan dihukum on the spot, mereka masih ingat lagi dengan jelas apa yang telah mereka lakukan. Pada waktu itu juga mereka tahu apa yang telah dibuat itu salah. Mereka mungkin telah pun lupa pada apa yang telah mereka lakukan jika tidak ditegur "on the spot".




Kedua, terlalu banyak perkara yang telah mereka lakukan dalam satu-satu hari. Setelah ditegur/dihukum on the spot, mereka akan tahu untuk kesilapan yang mana mereka ditegur/dihukum. Sebaliknya, mereka akan keliru dan mungkin tidak tahu daripada banyak perkara yang telah mereka lakukan pada hari tu, atas kesalahan manakah mereka ditegur dan dihukum itu. Itu tidak termasuk kerusakan dan kerugian akibat kenakalan mereka yang juga bertimbun. Ingat, biasanya satu kesalahan yang kita tangkap “red handed” ada 10 lagi yang tidak kita ketahui.




Ketiga, dengan menegur on the spot, mereka akan segera menghentikan kesalahan yang telah mereka lakukan itu dan tidak mengulanginya lagi. Penting untuk menghentikannya segera berbanding dengan menghentikan sesuatu yang telah terbiasa kerana telah berulang kali dilakukan.




Hari ini ramai ibu bapa moden sudah lupa mendidik anak melalui pencegahan (hudud). Depan ibu bapa, depan tetamu anak boleh panjat atas meja, ramas kuih dan tembikai yang dihidang pada tetamu. Berlari-lari depan orang tua tanpa adab, salam orang tua tanpa tunduk, malah tarik tangan orang tua sampai nak tersungkur. Bagi kami itu sudah masalah berat. Hasilnya ramai anak muda kini SUKAR DITEGUR.




Warga Prihatin mendapati habit ini boleh mendisplinkan anak. Ia mengurangkan kerusakan dan kecederaan. Yang penting mengurangkan KEDEGILAN anak. Marilah kita sama-sama menegur anak kita ON THE SPOT setiap kali kita nampak mereka melakukan kesalahan.




Credit : Warga Prihatin​



#SayangAnak

#NurUmyrah

Monday, June 1, 2015

Bacalah Al Quran


Banyak fadhilat jika kita dapat mengamalkan dan mengekalkan untuk selalu membaca Al-Quran walaupun tidak memahami maksudnya.



بِسْمِ اللَّـهِ الرَّ‌حْمَـٰنِ الرَّ‌حِيمِ

اقْرَ‌أْ بِاسْمِ رَ‌بِّكَ الَّذِي خَلَقَ ﴿١﴾ خَلَقَ الْإِنسَانَ مِنْ عَلَقٍ ﴿٢﴾ اقْرَ‌أْ وَرَ‌بُّكَ الْأَكْرَ‌مُ ﴿٣﴾ الَّذِي عَلَّمَ بِالْقَلَمِ ﴿٤﴾ عَلَّمَ الْإِنسَانَ مَا لَمْ يَعْلَمْ ﴿٥


“Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang menciptakan, Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah, Yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam. Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya.”
(Surah Al-Alaq, Ayat 1-5)

Berikut adalah kisah yang sungguh menarik yang banyak mengandungi pengajaran, hikmah daan manfaat jika kita menelaahnya dengan lebih mendalam.


Suatu ketika dahulu tinggal seorang muslim tua Amerika di sebuah timur Pergunungan Kentucky bersama cucu lelakinya yang masih muda. Setiap pagi orang tua itu bangun pagi dan duduk berhampiran pendiangan sambil membaca Al-Quran. Cucunya ingin menjadi seperti datuknya dan cuba menirunya sebagaimana yang dilihatnya setiap hari.


Suatu hari dia bertanya pada datuknya:
"Datuk, saya cuba membaca Al-Quran sepertimana atuk tapi saya tidak dapat memahaminya, walaupun ada sedikit yang saya fahami tapi cepat pula terlupa sebaik saya selesai membaaca dan menutupnya. Jadi apa baiknya membaca Al-Quran jika tak memahami maksudnya?"


Orang tua itu dengan tenang sambil meletakkan arang batu di tempat pendiangan, menjawab pertanyaan cucunya:
"Cubalah ambil sebuah raga arang batu ini dan bawa ke sungai dan bawakan datuk dengan segera airnya."


Cucunya itu melakukan seperti yang diperintahkan datuknya, tetaapi semua air yang dibawa habis sebelum dia sempat sampai ke rumah. Datuknya tertawa dan berkata:
"Kamu harus berusaha lebih cepat lagi."



Orang tua itu meminta cucunya untuk kembali semula ke sungai bersama raganya untuk mencuba lagi. Kali ini anak kecil itu berlari lebih cepat, tapi sekali lagi raganya kosong sebelum sampai ke rumah.


Dalam kepenatan dan termegah-megah, dia memberitahu datuknya bahawa mustahil untuk membawa seraga air menggunakan raga arang batu itu, lalu dia pun pergi mencari sebuah baldi sebagai ganti raganya.


Orang tua itu berkata:
"Atok tidak mahu sebaldi air, atok ingin seraga air. Kamu harus cuba dengan lebih kuat lagi."
Dan dia turut pergi ke luar untuk menyaksikan cucunya mencuba lagi.


Pada ketika itulah, anak kecil tersebut menyedari bahawa perkara ini tidak mungkin berjaya, tapi dia ingin menunjukkan kepada datuknya bahawa meskipun dia berlari secepat mungkin, air tetap akan habis keluar sebelum sampai di rumah.


Anak kecil tersebut kembali semula mengambil dan mencelupkan raganya ke dalam sungai dan kemudian berusaha berlari sekuat hati, tetapi apabila di sampai di depan datuknya, raga itu tetap kosong. Dengan termengah-mengah, dia berkata:
"Datuk, perlakuan ini tidak ada gunanya, mustahil dilaksanakan. Sia-sia saja!"


Datuknya menjawab:
"Cu, mengapa kamu berfikiran perkara ini tak ada gunanya? Cuba lihat dan perhatikan baik-bauk raga itu."


Cucunya memperhatikan raganya dan baru dia menyedari bahawa raganya nampak sangat berbeza. Raga itu telah berubah dari sebuah raga batu yang kotor, dan sekarang telah menjadi sebuah raga yang, luar dan dalam.


"Cucuku, inilah yang berlaku bila kamu membaca Al-Quran. Kamu mungkin tidak mengerti dan tak memahami atau ingat segalanya tetapi apabila kamu membacanya, tanpa kamu sedaar kamu akan berubah, luar dan dan dalam. Itu adalah kerja Allah dalam kehidupan kita."



Subhanallah Allah Akbar, Lahauwla wala kuwwata Illah Billahil 'Aliyul adzim. Berpegang teguhlah dengan kitab_nya. Percaya pada mukjizat dari Maha Esa. Semoga Allah SWT merahmati dan melapangkan kita agar sentiasa dapat membaca al-Quran.

Firman Allah سبحانه وتعالى:

وَنُنَزِّلُ مِنَ ٱلْقُرْءَانِ مَا هُوَ شِفَآءٌۭ وَرَحْمَةٌۭ لِّلْمُؤْمِنِينَ ۙ وَلَا يَزِيدُ ٱلظَّٰلِمِينَ إِلَّا خَسَارًۭا

“Dan Kami turunkan dari Al-Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua.”
(Surah Al-Isra’ 17: Ayat 82)

Dari Ibnu Mas’ud r.a. berkata bahawa Rasulullah ﷺ bersabda,

عَن ابنِ مَسعُودٍ رَضيَ اللٌهُ عَنهُ قَالَ:قَالَ رَسُولُ اللٌهِ صَلَى اللٌهُ عَلَي وَسَلَمَ مَن قَرَأ حَرفًا مٍن كَتَابِ اللٌه فَلَه بِه حَسَنَةُ وَالحَسَنَةُ عَشُرُ اَمُثَالِهَا لآ اَقُولُ الم حَرفُ وَلكِنُ اَلِفُ وَلآمُ حَرفُ وَميمُ حــَرُفُ. 
(رواه الترمذي وقال هذا حديث حسن صحيح غريب اسنادا والدارمى

“Sesiapa membaca satu huruf dari Kitab Allah, maka baginya satu hasanah (kebaikan) dan satu hasanah itu sama dengan sepuluh kali ganda. Aku tidak mengatakan alif lam mim itu satu huruf, tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan mim satu huruf.”
(Hadis Riwayat At-Tirmidzi)

والله أعلم بالصواب
Wallahu A’lam Bish Shawab
 (Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)


Syila Rapal

Thursday, July 3, 2014

Ujian itu Rahsia Allah SWT


Bismilahhirrahmannirrahim



Setiap manusia yang Allah cipta sentiasa akan dibberi musibah, ujian atau masalah hidup di dunia yang sementara ini. Tiada pun dari kita semua tidak di timpa masalah atau musibah. Setiap orang pasti ada masalahnya tersendiri. Allah menguji setiap hambaNya dengan berbagai-bagai bentuk ujian tetapi dengan sebab yang sama.


Allah menguji seseorang itu kerana Allah SWT mempunyai rahsiaNya. Itu semua adalah Allah sayang kepada hamba-hambaNya.


Sesuatu ujian itu dapat membuka mata hati kita, mendidik kita supaya belajar jangan mudah putus asa dalam kehidupan yang penuh dengan onak duri. Selain itu juga untuk mengukur sejauh mana keimanan kita terhadap Yang Maha Pencipta.


Kadang-kadang kita tertanya-tanya atau mempersoalkan kepada Allah SWT kenapa kita diberi ujian yang berat sebegitu sekali sehingga kita terlupa pada siapa yang seharusnya kita mengadu segala masalah yang tiba. Pada siapakah perlu minta kembalikan kekuatan kita dalam menempuh kehidupan ini. Astagfirullah, betapa lemah dan rendahnya keimanan kita.


Tidak redha dalam menghadapi ujian yang Allah beri terhadap kita. Usahlah kita beranggapan bahawa hanya kita seorang sahaja yang menghadapi ujian Allah. Masih ada lagi mereka yang di uji oleh Allah malahan lebih teruk dari yang kita sangkakan. 


Allah telah berkata di dalam Al-Quran:
Allah tidak akan sekali-kali menguji hambaNya diluar kemampuan hambaNya. Allah tahu kita kuat dalam menghadapi ujianNya, oleh kerana itulah Allah berikan ujian ke atas diri kita. Allah lebih pengasih daripada segala yang penyayang.


Kerana tanda kasih sayang maka Allah menguji seseorang. Kita di uji bukan kerana Allah benci pada kita. Cuma kita sebagai hambaNya tidak pernah hendak bersabar dalam menghadapi ujianNya. Pasti Allah telah aturkan yang terbaik buat kita kerana setiap yang berlaku ada hikmahnya.


Alihkan pandangan matamu ke arah LAUT, airnya cantik membiru dan penuh dengan ketenangan. Tetapi hanya Allah sahaja yang mengetahu rahsia di dalamnya. 
Begitu juga dengan kehidupan manusia, riang dan ketawa tetapi hanya Allah yang mengetahui rahsia kehidupannya.
Jika rasa kecewa, alihkan pandanganmu ke arah SUNGAI, airnya tetap mengalir biarpun berjuta batu yang menghalangnya.
Dan jika rasa sedih, alihkan pandanganmu ke arah LANGIT, sedarlah dan sentiasa ingatlah bahawa Allah sentiasa bersamamu.


Jadi seharusnya apa yang perlu kita lakukan? Berdoalah kepada Allah, hanya Allah tempat kembali segala masalah yang sering membelenggu diri kita. Jangan malu untuk merayu-rayu kepadaNya, teruskanlah meminta-minta serta memohon kepada Allah SWT. Ingatlah selalu yang Allah tidak pernah jemu mendengar setiap rintihan hambaNya, Allah itu Maha Mendengar. Pintalah dengan berdoa kepada Allah menggunakan nama-nama baik Allah, Asmaul Husna. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar semua doa hambaNya.


Dekatkanlah diri kita dengan Pencipta yang Menguasai Seluruh Alam, Dialah yang memegang hati-hati hambaNya. Di samping berdoa perlulah berusaha menyelesaikan masalah yang dihadapi. Mungkin ada yang rasa diri mereka tidak kuar hendak hadapinya tetapi cubalah bangun! Usah tewas dengan bisikan syaitan. Cariah kembali kekuatan kita kerana kekuatan itu ada dalam diri kita sendiri. 


Yakin pada diri sendiri, kuatkan azam dan cita-cita. Usah biarkan kelemahan mengalahkan kekuatan kita kerana syaitan tidak pernah berhenti menghasut untuk kita terus lemah-selemahnya.


Carilah sahabat-sahabat yang sentiasa memberi kata-kata semangat ketika kita rasa tidak kuat. Pentingnya mencari sahabat yang sentiasa memberi semangat kepada kita.


Ujian datang dengan berbagai bentuk, jadi sentiasalah bersedia menghadapi setiap ujian. Betapa beruntungnya bagi mereka yang sentiasa terpilih untuk diberikan ujian. Itulah tandanya Allah SWT sayang kepadanya. 


Mudah-mudahan kita semua sentiasa menjadi hambaNya yang redha atas ujian dan ketentuan Allah SWT. Apa yang ditetapkan untuk kita itulah yang terbaik. Allah Pengatur yang terbaik.


Syila Rapal

Friday, July 5, 2013

Bersabarlah Menghadapi Ujian


Hidup di dunia ini tidak lepas dari ujian dan dugaan dari Allah. Itulah rencah kehidupan manusia. Ada dua jenis bentuk ujian buat manusia, ujian dalam bentuk kesenangan dan ujian dalam bentuk kesusahan.


Cuma, acapkali apabila disebut ujian Allah maka rata-rata manusia beranggapan ujian itu adalah dalam bentuk bala dan musibah. Ramai yang lupa akan ujian kesenangan yang datang dalam pelbagai bentuk kekayaan, kekuasaan, kesihatan dan bermacam-macam lagi.


Bahkan ujian kesenangan sebenarnya lebih sukat kerana kebiasaannya manusia itu mudah lupa kepada Tuhan tatkala dirinya mengecapi pelbagai kesenangan hidup. Apabila ditimpa kesusahan, kebanyakan manusia akan kembali menyerunya Tuhannya.


Mengenai ujian kesusahan, firman Allah dalam surah al-Baqarah:
"Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali." Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya.


Maka antara ujian yang datang daripada Allah itu ialah timbulnya perasaan takut di hati, kelaparan, hilangnya harta benda, tanaman dan orang yang disayangi. Kebiasaannya apabila manusia ditimpa musibah, pastinya mereka akan berada dalam keadaan sedih, dukacita dan gusar. Tetapi manusia yang bersabar menghadapi ujian akan menerima khabar gembira.


Ciri Manusia Yang Sabar.

Manusia yang sabar ialah mereka yang apabila ditimpa kesusahan akan segera ingat kepada Allah, dengan berkata, "Inna lillah wa inna ilayhi raji'un", bahawa hidup kita secara keseluruhannya adalah hal milik mutlak Allah - apa sahaja yang kiya miliki, baik harta, kuasa, bahkan nyawa kita dan orang-orang yang kita sayangi kesemuanya adalah hak milik Allah. Maka pastinya Allah berkuasa melakukan apa sahaja yang dikehendaki-Nya ke atas segala yang dimiliki-Nya, dan akan tiba masa dan ketika di mana kesemuanya akan dikembalikan kepada-Nya.


Para 'ulama mengingatkan bahawa sabar itu mestilah berlaku pada pukulan pertama, iaitu ketika mula-mula musibah melanda. Bukannya seperti kata pepatah, alah bisa tegal biasa. Manusia apabila mula-mula ditimpa musibah, ramai yang akan cepat melatah dan tidak redha dengan ketentuan tersebut. Setelah keadaan reda sedikit dan dia mula sedar bahawa dia tidak memiliki jalan keluar, barulah dia akan mula insaf, redha kepada ketentuan Tuhan dan berkata, "Sabar sahajalah, nak buat macam mana lagi..."


Itu bukanlah konsep sabar yang sebenar. Sabar yang sebenar ialah pada detik pertama musibah melanda, lantas manusia yang bersabar terus redha dengan ketentuan Allah tanpa sedikit timbuul rasa kecewa atau penyesalan. Mereka inilah yang akan mendapat khabar gembira tersebut walaupun dilanda kesusahan. Apa pun bentuk khabar gembira itu? Pertama khabar gembira itu datang dalam bentuk selawat daripada Allah, iaitu mendapat keberkatan daripada Allah dan keampunan dari dosa-dosa.


Kemudian datang pula rahmat Allah melimpahi mereka. Sa'id ibn Jubayr Rahimahullah, seorang tokoh Tabi'in mengatakan bahawa rahmat itu ialah pelindung daripada seksa azab neraka. Dan akhirnya mereka adalah orang yang benar-benar mendapat petunjuk daripada Allah. Orang yang mendapat petunjuk pula akan mendapat ganjaran yang banyak kerana mereka mengikut petunjuk Allah.


Abu Salamah Dan Ummu Salamah.

Ada satu kisah menarik yang perlu kita soroti. Siapa yang tidak kenal akan Abu Salamah dan isterinya, Ummu Salamah, radiyallahu'anhumaa. Kedua-duanya adalah antara sahabat Rasulullah SAW yang terawal memeluk Islam. Mereka berdua adalah antara spasangan yang sangat bahagia, namun ditentang oleh suku kaum mereka kerana mereka memeluk Islam. Suku Makhzum adalah antara puak yang terkenal sangat menentang Islam di Makkah.


Pada awalnya, kedua-kua Abu Salamah dan Ummu Salamah berhijrah ke Habsyah, kemudian tatkala timbul seruan hijrah ke Madinah, bersiap-siap Abu Salamah, Ummu Salamah dan anak mereka Salamah untuk berhijrah ke Madinah. Abu Salamah hanya memiliki seekor unta, maka dia terpaksa berjalan dan membiarkan isteri dan anaknya menunggang unta.


Malang sekali di pertegahan jalan, kaum keluarga mereka telah mengejar dan menahan mereka. Unta Abu Salamah dirampas, manakala Ummu Salamah dibawa pulang oleh keluarganya ke Makkah manakala keluarga Abu Salamah pula mengambil anak mereka Salamah kembali ke Makkah jua. Akhirnya Abu Salamah terpaksa berhijrah ke Madinah seorang diri, dan terpisahlah ketiga-tiga mereka.


Setiap hari, Ummu Salamah akan kembali ke tempat mereka dipisahkan dan mengenangkan suaminya di Madinah dan anaknya yang dijaga oleh keluarga suami di Makkah. Lebih kurang setahun ketiga-tiga mereka hidup terpisah sehinggalah akhirnya Ummu Salamah dan anaknya dibebaskan.


Dengan semangat yang kuat, Ummu Salamah membawa anaknya, Salamah yang masih kecil untuk ke Madinah. Bayangkan seorang wanita dan anak kecilnya ingin berjalan jauh menuju ke pangkuan suami berseorangan semata-mata kerana ingin menjaga agamanya!


Ummu Salamah tidak mahu berlengah kerana takut suku kaumnya akan merubah fikiran dan kembali menahannya dan memisahkannya dari anaknya. lantas dia memulakan perjalanan, dan sesampainya di Tan'im, penjaga Kaabah - Uthman ibn Talhah yang masih belum memeluk Islam berpendapat bahawa tidaklah patut Ummu Salamah dan anak kecilnya dibiarkan berkelana di Madinah tanpa ditemani lelaki. maka dia berjanji kepada Ummu Salamah bahawa dia akan membawa mereka ke Madinah.


Akhirnya bersatulah kembali Ummu Salamah dan suaminya, Abu Salamah. Percintaan suami isteri ini sangatlah kuat, sehingga dikatakan pada suatu hari, Ummu Salamah berkata kepada suaminya bahawa dia (ummu Salamah) mendengar daripada Rasulullah SAW bahawa sekiranya kedua-dua suami isteri dapat masuk syurga, maka si suami akan kembai bersama jika isterinya tidak berkahwin lain selepas kematian suaminya, begitu juga isteri akan bersama jika suaminya tidak berkahwin lain selepas isterinya mati.


Lantas Ummu Salamah meminta suami agar mereka sama-sama berjanji untuk tidak berkahwin lain jika salah seorang mereka mati dahulu agar dapat bersama-sama kembali di syurga. Tetapi suaminya, Abu Salamah berkata, sekiranya dia (Abu Salamah) mati dahulu, dia mahu isterinya berkahwin lagi. Lantas Abu Salamah berdoa kepada Allah, andai dia (Abu Salamah) mati dahulu, kurniakanlah isterinya seorang suami yang lebih baik darinya. Begitu hebat cinta dan kasih sayang kedua-dua suami isteri ini.


Pada peperangan Uhud, Abu Salamah mengalami kecederaan teruk. Ketika masih dirawat isterinya, Abu Salamah berkata bahawa dia mendengar Rasulullah SAW memberitahu, sesiapa yang ditimpa bala musibah, hendaklah dia menyebut istirja' "Inna Lillahi wa inna ilayhi raji'un, dan berdoa, "Ya Allah, berilah ganjaran atas kehilangan akibat musibah yang melanda diriku dan berilah ganti yang lebih baik daripadanya, maka pasti Allah akan mengurniakan sesuatu yang lebih baik." Akhirnya Abu Salamah meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya, dan tinggalah Ummu Salamah bersama anak-anak mereka di Madinah.


Ummu Salamah, tatkala teringat kembali akan kata-kata suaminya, sering melafazkan istirja' dan doa tersebut. Cuma dia seringkali tidak dapat meneruskan lafaz 'berilah ganti yang lebih baik', dan jika disebut juga lafaz tersebut, dia kan terkenang kerana baginya siapakah lelaki yang dapat menjadi suami yang lebih baik daripada Abu Salamah. Segala kesusahan yang pernah mereka alami tatkala mula-mulaa memeluk Islam, ditambah dengan kebahagiaan mereka di Madinah menguatkan lagi rasa cinta Ummu Salamah kepada suaminya. Namun akhirnya berkat doa Ummu Salamah tersebut Allah mengurniakan Ummu Salamah seorang suami yang diakhirnya diakui lebih baik dari Abu Salamah. Siapakah lelaki itu? Tidak lain daripada Rasulullah SAW sendiri. 


Lihat sahaja ujian yang melanda Ummu Salamah. Ujian yang lebih berat daripada kehilangan insan-insan tersayang yang banyak pula menempuh suka duka kehidupan bersama di jalan Allah. namun Allah tetap memberi ganjaran kepada hamba-hamba-Nya yang bersabar.

- Artikel iluvislam.com


Syila Rapal

Thursday, June 27, 2013

Kelapangan hati


Nabi Musa berdoa dengan berkata:
"Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku, dadaku (25)
"Dan mudahkanlah bagiku, tugasku (26)
"Dan lepaskanlah simpulan dari lidahku (27)
"Supaya mereka faham perkataanku (28)


Ini adalah doa yang penuh berkah, rahmat dan ubat kesembuhan kerana di dalam doa ini terdapat rasa khusyuk dan merendahkan diri di hadapan Allah, firman Allah SWT:


Maksudnya:
Atau siapakah yang memperkenankan doa orang yang menderita apabila ia berdoa kepadaNya, dan yang menghapuskan kesusahan, serta menjadikan kamu pengganti (umat-umat yang telah lalu) mendiami dan menguasai bumi? Adakah sebarang tuhan yang lain bersam-sama Allah? Amat sedikit di antara kamu yang mengingati (nikmat Allah itu)


Ayat ini adalah perkataan Allah kepada Musa a.s sebagai satu contoh kepada orang-orang yang bertawajuh kepada Allah agar jiwa mereka dihilangkan daripada rasa sedih, dipenuhi kelapangan dan hikmah serta sabar menghadapi cabaran.


Allah SWT telah berkata-kata kepada Nabi Musa a.s di bukit Thur Sina dan kemudian menjadikannya sebagai seorang Nabi yang diperintahkan untuk membawa risalah Allah dan menyampaikan kepada Fir'aun serta pengikut-pengikutnya yang sesat.


Nabi Musa a.s memohon kepada Allah untuk dipermudahkan, maka beliau berdoa kepada Allah untuk dilapangkan hatinya dan dilembutkan serta penuh kasih sayang apabila menghadapi musuh-musuhnya. 


Insya Allah, bila kita berserah segala urusan dan jiwa kita pada Allah, Allah akan beri petujuk kepada kita. Insya Allah.

Syila Rapal

Tuesday, June 25, 2013

Ujian Itu Hadiah Dari Allah Pada HambaNya


Hari terus berganti hari. Kehidupan manusia penuh dengan warna warni yang terus berjalan pantas seiring dengan masa yang pantas berlalu. Dicelah-celah liku onak dan ranjau yang perlu dijalani dan diterusi tanpa disedari atau tidak, manusia sebenarnya telahpun menempuh pelbagai dugaan dan ujian kehidupan. Ujian-ujian yang diberikan oleh Allah dalam pelbagai bentuk dan rupa mengikut tahap-tahap kemampuaan hambaNya.

A286

"Allah tidak membebani seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya, ia mendapat pahala kebajikan yang diusahakannya dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang dilakukannya.... (Al - Baqarah: 286)


Allah telah menyatakan dengan jelas dalam Al-Quran. Dia tidak akan sekali-kali menguji hambaNya diluar kemampuan hambaNya. Allah lebih mengetahui yang kita kuat menghadapi setiap ujian yang diberikanNya kepada kita. Allah menguji seseorang bukan kerana Dia benci pada kita tetapi percayalah yang Allah menguji kita kerana Allah sangat sayang dan kasih kepada hambaNya. Sebagai hambaNya adakah kita mampu laluinya dan bersabar?


"Kenapa aku diuji?"


"Terlalu berat apa yang aku lalui ini, aku tak mampu nak hadapinya"


Inilah kebanyakkan perkataan yang keluar atau dilintas difikiran kita disaat dihimpit dengan sedikit ujian. Kadangkala tanpa kita sedar kita meluahkan perasaan kesal padaNya.


Hakikatnya kita terlepas pandang di saat kita diuji, ramai lagi manusia diluar sana yang diuji dan adakalanya dihimpit kesusahan. Ada yang hidup miskin dalam kelaparan. Tidak kurang jugak yang diuji dengan kehilangan orang tersayang. Dan pelbagai ujian lagi yang perlu dilalui setiap yang bergelar hambaNya.


Tetapi, apabila kita bermuhasabah dan fikir secara tenang, sebenarnya dengan ujian yang diberikan kita adalah hamba yang beruntung. Ujian adalah untuk hamba-hambaNya yang terpilih sahaja. Hamba yang disayangi dan dikasihiNya. Ujian juga merupakan pertolongan Allah kepada hambaNya.


Mari kita renung kembali, setiap ujian yang diberikan pada kita mampu membuat kita tersedar dari mimpi yang panjang kerana kita manusia mudah lupa, alpa dan lalai. Ujian mampu membangkitkan manusia yang kealpaan dan kelalaian. Tetapi, saat ujian itu tiba mampukah manusia itu bersyukur memandangkan ujian itu sebagai hadiah pemberian Allah? 


Justeru itu, marilah kita sama-sama bermuhasabah dan menilai kembali segala prasangka buruk yang mungkin bermain di fikiran kita saat diuji. Inilah saatnya kita semua merubah fikiran dan pandanglah ujian yang sedang atau yang perlu kita hadapi itu adalah sebuah hadiah dari Allah dan bukan lagi satu bebanan. Apabila kita sedari hakikat ini, kita akan menjadi seorang hamba yang sentiasa bersyukur dengan Hadiah Pemberiaan Dari ALLAH. Hadiah yang tiada nilainya. Bersyukur dan berbahagialah dengan Hadiah itu.




Syila Rapal

Monday, June 24, 2013

Kisah Puteri Rasulullah SAW - Siti Fatimah r.a




Kisah puteri Rasulullah SAW - Siti Fatimah r.a


Gembira hatinya, gembiralah Rasulullah SAW. Tertitis air matanya, berdukalah baginda. Dialah satu-satunya puteri yang dikasihi oleh junjungan Rasul selepas kewafatan isterinya yang paling dicintai, Siti Khadijah. Itulah Siti Fatimah R.A wanita terkemuka di dunia dan penghuni syurga di akhirat.


Bersuamikan Sayyidina Ali bukanlah satu kebanggaan yang menjanjikan kekayaan harta. Ini adalah kerana Sayyidina Ali yang merupakan salah seorang daripada empat sahabat yang sangat rapat dengan Rasulullah SAW, merupakan kalangan sahabat yang sangat miskin berbanding dengan yang lain.


Namun jauh di sanubari Rasulullah SAW tersimpan perasaan kasih dan sayang yang sangat mendalam terhadapnya. Rasulullah SAW pernah bersabda kepada Sayyidina Ali, "Fatimah lebih kucintai daripada engkau, namun dalam pandanganku engkau lebih mulia daripada dia."
(riwayat Abu Hurairah)


Wanita pilihan untuk lelaki pilihan. Fatimah mewarisi akhlak ibunya Siti Khadijah. Tidak pernah membebani dan menyakiti suami dengan kata-kata atau sikap yang kurang baik. Sentiasa senyum menyambut kepulangan suami hingga hilang separuh masalah suaminya. Dengan mas kahwin hanya 400 dirham hasil jualan baju perang kepada Sayyidina Usman Ibnu Affah. Itulah dia memulakan penghidupan dengan wanita yang sangat dimuliakan Allah di dunia dan di Akhirat.


Bukan Sayyidina Ali tidak mahu menyediakan seorang pembantu untuk isterinya tetapi sememangnya beliau tidak mampu berbuat demikian. Meskipun beliau cukup tahu isterinya saban hari bertungkus lumus menguruskan anak-anak, memasak, membasuh dan mengguling tepung. Yang lebih memenatkan lagi bila terpaksa mengandar air berbatu-batu jauhnya sehingga kelihatan tanda di bahu kiri dan kanannya.


Suami mana yang tidak sayangkan isteri. Ada ketikanya bila Sayyidina Ali berada di rumah, beliau akan turut sama menyingsing lengan membantu Siti Fatimah menggiling tepung di dapur. "Terima kasih suamiku," bisik Fatimah pada suaminya. Usaha sekecil itu di celah-celah kesibukan sudah cukup berkesan dalam mebelai perasaan seorang isteri.


Suatu hari Rasulullah SAW masuk ke rumah anaknya. Didapati puterinya yang berpakaian kasar itu sedang mengisar biji-biji gandum dalam linangan air mata. Fatimah segera mengesat air matanya tatkala menyedari kehadiran ayahanda kesayangan itu.


Lalu ditanya oleh baginda "Wahai buah hatiku, apakah yang engkau tangiskan itu? Semoga Allah menggembirakanmu"


Dalam nada sayu Fatimah berkata, "Wahai ayahanda, sesungguhnya anakmu ini terlalu penat kerana terpaksa mengisar gandum dan menguruskan segala urusan rumah seorang diri. Wahai ayahanda kiranya tidak keberatan, bolehkah ayahanda meminta suamiku menyediakan seorang pembantu untukku?


Baginda tersenyum seraya bangun mendapatkan kisaran tepung itu. Dengan lafaz Bismillah. Baginda meletakkan segenggam gandum ke dalam kisaran itu, Dengan izin Allah, maka pusinglah kisaran itu dengan sendirinya. Hati Fatimah sangat terhibur dan merasa sangat gembira dengan hadiah istimewa dari ayahandanya itu. Habis semua gandumnya dikisar dan batu kisar itu tidak akan berhenti selagi tidak ada arahan untuk berhenti, sehingga Rasulullah SAW menghentikannya.


Berkata Rasulullah SAW dengan kata-kata yang mahsyur. "Wahai Fatimah, Gunung Uhud pernah ditawarkan kepadaku untuk menjadi emas, namun ayahanda memilih untuk keluarga kita kesenangan di akhirat." Jelas Baginda Rasulullah mahu mendidik puterinya bahawa kesusahan bukanlah penghalang untuk menjadi solehah.


Ayahanda yang penyayang terus merenung puterinya dengan pandangan kasih sayang. "Puteriku, mahukah engkau kuajarkan sesuatu yang lebih baik daripada apa yang kau pinta itu?"


"Tentu sekali ya Rasulullah," jawab Siti Fatimah kegirangan.


Rasulullah SAW bersabda,
"Jibril telah mengajarku beberapa kalimah. Setiap kali selesai sembahyang, hendaklah membaca Subhanallah sepuluh kali, Alhamduillah sepuluh kali dan Allahu Akbar sepuluh kali. Kemudian ketika hendak tidur baca 'Subhanallah', 'Allamdulillah' dan 'Allahu Akbar' ini sebanyak tiga puluh tiga kali.


Ternyata amalan itu telah memberi kesan kepada Siti Fatimah. Semua kerja rumah dapat dilaksanakan dengan mudah dan sempurna meskipun tanpa pembantu rumah. Itulah hadiah istimewa dari Allah buat hamba-hamba yang hatinya sentiasa mengingatiNya.


Sebagai manusia biasa, walau apa pun tugas kita, saya percaya masing-masing tidak lari dari rasa penat, gelisah, sedih atau risau. Semua itu lumrah kehidupan kan...

Dari kisah Siti Fatimah di atas, jelas bahawa Rasulullah meminta Siti Fatimah mengamalkan satu amalan yang lebih baik iaitu amalkan 'Subhanallah 33x' 'Alhamdulillah 33x' dan 'Allahu Akbar 33x' sebelum tidur.


Apatah lagi kita yang bergelar seorang usahawan. Amalkan 'Subhanallah' 'Alhamdulillah' dan 'Allahu Akbar' ditambahkan dengan istigfar dan selawat. Sentiasa tersenyum walaupun dalam hati anda dilanda ribut tsunami. Bibir dan hati sentiasa basah dengan Istighfar, zikir dan selawat. Tak lupa juga rajinkan membaca al-Quran. Bila kita mengamalkan semua ini, insya Allah, secara automatik BADAN dan MINDA akan menjadi lebih segar, aktif, rajin, bersemangat, kekal momentum. Jauhkanlah diri dari terus menerus melayan perasaan yang negatif dalam diri. Insya Allah.


Syila Rapal

Monday, June 17, 2013

Hindari Sifat Marah


Kegagalam mengawal marah menyebabkan manusia bertindak di luar batasan termasuk membunuh. Sememangnya hidup ini banyak cabaran, banyak dugaan dan penuh dengan liku-liku dan ranjau yang harus dilalui dan dihadapi dengan penuh kesabaran dan ketenangan.


Cabaran dan dugaan itu bermacam-macam bentuk, ada berbentuk kesusahan, kesengsaraan dan ada pula berbentuk kesenangan dan kegembiraan.


Jika kesenangan yang diperolehi, gembiralah hati kita dan jika kesusahan yang menimpa, maka akan kecewalah dan marahlah kita. Sifat marah adalah suatu sifat yang tetap ada pada diri seseorang, tinggal lagi hendaklah kena pada tempatnya, bukan mengikut perasaan dan hawa nafsu.


Bagi orang Islam yang beriman, sifat sabar adalah menjadi perisai dalam menghadapi segala cabaran dan dugaan dan sentiasa reda dengan takdir Allah SWT bahkan insaf terhadap-Nya. Ini kerana mereka sedar sifat marah itu amat dibenci oleh Allah SWT dan Rasul-Nya sehingga Rasulullah SAW banyak berpesan supaya jangan bersifat marah.


Ia sebagaimana sabda baginda yang maksudnya:
Dari Abu Hurairah r.a bahawa ada seorang lelaki telah berkata kepada nabi Muhammad SAW:
Berpesanlah kepadaku, lalu baginda bersabda:
Jangan marah, orang itu mengulangi lagi beberapa kali minta dipesani, maka baginda masih tetap bersabda:
Jangan marah.
(riwayat Bukhari)


Memanglah benar bahawa perkara-perkara yang menyebabkan timbulnya kemarahan itu amat banyak khususnya cabaran-cabaran masa kini yang ditambah pula dengan kerenah-kerenah manusia itu sendiri.


Sebenarnya sifat marah itu tidak menjadi kesalahan jika kena pada tempatnya dan dengan tujuan yan baik iaitu untuk menyedarkan orang yang melanggar perintah Allah SWT dan Rasul-Nya. Tetapi yang sebaik-baiknya, elakkanlah dari berlaku perkara sedemikian, kerana marah boleh menimbulkan keburukan dan permusuhan, bukan saja kepada orang lain tetapi kepada diri sendiri.


Oleh itu agama Islam telah mengajar kita bahawa jika kita marah, maka lekas-lekaslah kita mengambil wuduk supaya kita merasa tenang dan tenteram. Di samping itu, kita hendaklah bersifat sabar dan mudah memberi maaf kepada orang yang melakukan kesalahan.


Firman Allah SWT yang bermaksud:
Dan juga lebih baik dan lebih kekal bagi orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar serta perbuatan-perbuatan yang keji dan apabila mereka marah disebabkan perbuatan yang tidak patut terhadap mereka, mereka memaafkannya.
(asy-Syuura: 37)


Rasulullah SAW bersabda:
"Dari Atiah r.a, dia berkata, Rasulullah SAW bersabda:
Sesungguhnya marah itu daripada syaitan dan syaitan itu diciptakan daripada api dan sesungguhnya api itu terpadam dengan air, maka apabila salah seorang dari kamu marah, maka hendaklah ia berwuduk."
(riwayat Abu Daud)


Menjauhkan diri dari bersifat marah itu mempunyai banyak hikmah antaranya boleh mengelakkan berlakunya sifat dengki, dendam, benci, buruk sangka, memendam perasaan tidak baik terhadap seseorang dan bermacam-macam lagi sifat yang tidak baik.


Kedua, supaya kita akan dapat mencontohi akhlak mulia Rasulullah SAW seperti bersopan santun dan bersedia memaafkan orang yang bersalah. Sikap sedemikian boleh menimbulkan perasaan kasih sayang dan kemesraan. 


Oleh itu, kita harus memahami bahawa orang yang dapat mengawal dirinya dari bersifat marah akan mendapat balasan syurga. Ini dijelaskan seperti mana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
Dari Abi Ad-darda dia berkata, wahai Rasulullah SAW bersabda:
Jangan marah nescaya engkau akan dapat masuk syurga.
(riwayat At-Tabrani).


Islam mahukan umatnya bersatu padu, hidup bersaudara, berkasih sayang, mengelakkan perpecahan dan permusuhan yang boleh membawa kepada kehancuran umat Islam. Maka bagi mengelakkan semua itu, Islam menganjurkan kita supaya jangan bersifat marah.


Mudah-mudahan dengan demikian umat Islam akan bersatu padu dan menjadi umat yang kuat dan berpegang teguh dengan ajaran Islam. 


Firman Allah SWT yang bermaksud:
Dan segeralah kamu kepada mengerjakan amalan-amalan yang baik untuk mendapat keampunan dari Tuhan kamu dan mendapat syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah dan orang-orang yang menahan kemarahannya dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan ingatlah, Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.
(ali-Imran: 133-134)


Syila Rapal