بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم

Berpegang kamu kepada tali Allah dan janganlah kamu berpecah-belah.

Sunday, June 2, 2013

Akal Anugerah Tuhan Paling Istimewa Kepada Manusia



Setelah Allah SWT mencipta langit dan bumi, Allah jadikan pula makhluk-makhluk lain yang berjumlah 120,000 jenis semuanya termasuk manusia. Antara keistimewaan dan kemuliaan manusia berbanding makhluk-makhluk lain yang diciptakan oleh Allah SWT ialah manusia dikurniakan akal.



Lantaran keistimewaan ini juga Allah memberikan tugas dan tanggungjawab selaku khalifah-Nya di muka bumi ini kepada manusia, tidak kepada makhluk-makhluk lain. Dengan akal manusia mampu memimpin dan mentadbir muka bumi. Dengan akal juga manusia boleh mencipta berbagai-bagai kemajuan dan membina tamadun di atas muka bumi ini.




Ini tidak mampu dilakukan oleh makhluk-makhluk lain, hatta para malaikat dan jin. Hanya manusia yang mampu mengolah muka bumi dan apa yang ada di dalamnya sehingga mencapai taraf teknologi canggih sepertimana yang dapat dilihat dan dinikmati hari ini. Zaman berubah dengan wujudnya dunia siber dan komunikasi tanpa sempadan.




Haiwan tidak dibekalkan oleh Allah SWT dengan akal, sebab itu cara hidup mereka tidak meningkat dan tidak dan tidak berkembang. Tanpa akal tidak mungkin haiwan boleh mencipta tamadun. Malah kerana tiada akal haiwan tidak boleh mentadbir muka bumi ini.



FUNGSI NABI DAN RASUL


Demikianlah nilai akal dan ia amat berharga sekali bagi manusia, malah mempunyai peranan yang cukup penting, yang meletakkan kemuliaan manusia itu pada taraf yang paling tinggi. Lantaran itu Allah melantik nabi dan rasul daripada kalangan manusia, yang merupakan semulia-mulia makhluk di sisi-Nya.



Allah tidak melantik di kalangan malaikat yang dijadikan daripada nur dan jin daripada api, walau seorang nabi mahupun rasul, sedangkan jika dilihat daripada unsur kejadian, manusia dijadikan daripada tanah dan air mani yang hina.




Namun oleh sebab manusia dikurniakan akal, maka tarafnya melonjak menjadi lebih mulia dan diberi tugas serta peranan yang penting di atas muka bumi ini. Itulah peranan akal. Dalam al-Quran Allah berfirman bagi mengingatkan manusia tentang kemuliaan darjat mereka yang dikurnia akal. Firman Allah yang bermaksud:




'Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak Adam, Kami angkat mereka di daratan dan di lautan, Kami beri mereka rezeki daripada yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna ke atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan.'

(Surah al-Isra 17:70)

Dalam ayat di atas Allah telah menyatakan betapa Dia telah memuliakan anak cucu adam, yakni manusia, dan diberikan pelbagai kelebihan berbanding makhluk-makhluk lain. Ini kerana manusia telah dibekalkan oleh Allah SWT dengan akal hingga Allah menyerahkan daratan dan lautan untuk manusia kuasai.

KEMAMPUAN AKAL MELAKUKAN PENEROKAAN


Dengan akal manusia dapat membongkar segala khazanah yang ada di dalam lautan, yang terdiri daripada ikan, mutiara, berlian, minyak dan pelbagai bahan-bahan galian.



Malahan manusia menggunakan akal sehingga dapat mencipta berbagai-bagai peralatan yang boleh digunakan di laut untuk pelbagai kemudahan seperti menghasilkan kapal selam  yang boleh bergerak di dasar lautan manakala ada pula kapal yang bergerak di atas permukaan laut dan sebagainya. Akal fikiran juga membolehkan manusia menguasai angkasa lepas. Kemajuan yang dicapai bukan disebabkan oleh kekuatan fizikal yang ada pada manusia, tetapi kekuatan tenaga berfikir yang dijana sehingga dapat menghasilkan pelbagai teknologi seperti sistem satelit dan sebagainya.



Memandang akal yang dikurniakan oleh Allah kepada manusia begitu penting dan besar sekali kegunaannya untuk kehidupan di alam ini, maka menjadi kewajipan manusia memelihara dengan sebaik-baiknya daripada rosak, sama ada dirosakkan oleh faktor luaran mahupun faktor dalaman diri manusia sendiri, sama ada yang diusahakan oleh orang lain atau yang diusahakan oleh dirinya sendiri.



Di samping memelihara, manusia dituntut menyuburkan akal melalui kaedah perubatan, pemakanan, ibadah, riadah dan lain-lain. Manusia juga dituntut supaya mencerdikkan akal dengan ilmu, pengalaman dan pemerhatian (renungan dan tafakur).



Salam Sayang dari

Syila Rapal

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.