بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم

Berpegang kamu kepada tali Allah dan janganlah kamu berpecah-belah.

Saturday, June 15, 2013

Lidah Tentukan Langkah Manusia ke Syurga atau Neraka


Kata Imam al-Ghazali, lidah antara nikmat Allah SWT yang besar dan antara ciptaan Tuhan yang amat halus dan ganjil. Lidah mempunyai bentuk yang indah, kecil dan menarik.


Selanjutnya Imam al-Ghazali berkata:
"Keimanan dan kekufuran seseorang tiada terang dan jelas, selain dengan kesaksian lidah. Lidah mempunyai ketaatan yang besar dan mempunyai dosa besar pula. Anggota tubuh yang paling derhaka kepada manusia ialah lidah. Sesungguhnya lidah alat perangkap syaitan yang paling jitu untuk menjerumuskan manusia."


Daripada kata Imam al-Ghazali itu jelas menunjukkan kepada kita besarnya peranan lidah dalam kehidupan manusia kerana lidah kita boleh masuk syurga dan kerana lidah juga boleh dihumban kita ke neraka.


Oleh kerana lidah boleh membawa kebaikan dan keburukan dalam hidup manusia, kita perlu sentiada berwaspada menggunakan lidah sewaktu bertutur kata. Dengan kata lain, kita hendaklah bijak menggunakan lidah apabila bercakap.


Sekiranya kata yang kita ucapkan boleh menyebabkan orang yang mendengarnya sakit hati atau terguris, ia boleh mendatangkan keburukan kepada kita. Pepatah ada mengatakan kerana mulut badan binasa. Justera, sebelum kita berkata sesuatu hendaklah berfikir terlebih dahulu. 


Kita gunakan lidah untuk berkata sesuatu yang baik dan tidak sia-sia atau lebih baik lagi kita diam. Itu lebih memberi manfaat daripada kita berkata perkara yang mendatangkan dosa. Sesungguhnya orang beriman tidak bercakap perkara yang sia-sia dan tiada berfaedah.


Daripada Abu Hurairah diriwayatkan Nabi Muhammad SAW bersabda yang maksudnya:
"Siapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia berkata yang baik atau ia diam."
(Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim)


Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:
"Sesungguhnya Allah benci kepada orang yang jelik budi pekertinya serta kotor lidahnya."
(Hadis riwayat Imam Tirmidzi)


Menurut Rasulullah SAW ada 3 jenis manusia iaitu


1.  Yang Mendapat Pahala

Orang yang mendapat pahala sentiasa mengingati Allah, berzikir, mengerjakan solat dan sebagainya dalam melakukan perkara yang baik.


2.  Selamat daripada Dosa

Orang yang selamat daripada dosa ialah mereka yang diam.


3. Orang yang Binasa

Manakala orang yang binasa sentiasa melakukan perkara mungkar, maksiat dan tidak mengawal lidahnya dengan baik. 


Kita dapat mengenal peribadi seseorang daripada percakapannya. Orang yang tinggi akhlak selalunya bercakap hal yang baik saja, tidak menyakiti hati orang lain, tidak mengucapkan perkataan kotor dan tidak banyak bercakap. Mereka mengawal lidah sebaik-baiknya. 


Dalam hadis yang diriwayatkan Tirmidzi dan Ibnu Majah, Abu Hurairah menceritakan apabila Rasulullah SAW ditanya sebab terbesar yang membawa seseorang masuk syurga, Rasulullah menjawab: "Takwa kepada Allah dan akhlak yang baik," 


Apabila ditanya pula sebab terbesar yang membawa manusia masuk neraka, maka Rasulullah menjawab, "Dua rongga badan iaitu mulut dan kemaluan."


Sebagai orang Islam hendaklah kita sentiasa berhati-hati dengan lidah kita. Kata-kata yang baik keluar dari mulut kita itu melambangkan keperibadian kita sendiri. 


Syila Rapal

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.