بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم

Berpegang kamu kepada tali Allah dan janganlah kamu berpecah-belah.

Wednesday, June 5, 2013

Kelebihan Solat 5 Waktu Terutama Subuh


Orang Islam digalakkan solat lima waktu berjemaah kerana terdapat banyak fadilatnya. Orang yang menunaikan solat lima waktu khususnya solat Subuh maka dia tetap berada dalam jaminan (tanggungjawab) Allah sepanjang hari.




Sesiapa yang menganiayai atau menghalang seseorang daripada beribadah, nescaya dia akan diazab oleh Allah SWT. Meninggalkan solat Subuh maka terbatallah jaminan yang diberikan Allah kepada hamba berkenaan. Dikhususkan (ditentukan) solat Subuh dengan kelebihan ini kerana solat Subuh lebih berat daripada solat lain disebabkan Subuh waktu sedang nyenyak tidur, pada musim sejuk pula sukar untuk berwuduk.


Rasulullah SAW bersabda: 
“Segerakanlah solat Subuh sebelum matahari terbit. Sebab ketika itulah para pengikut syaitan sedang keluar dari sarangnya. Ketika itu pula orang kafir tengah bersujud kepada matahari.” 
(Riwayat Muslim)



Kita hendaklah sentiasa berusaha untuk mengerjakan solat di awal waktu kerana di akhirat kelak, perkara pertama sekali disoal oleh Allah SWT adalah solat. Jika sempurna solat seseorang itu maka sempurnalah amalannya yang lain. Seorang Muslim yang taat tidak akan melewat-lewatkan solatnya. Contohnya bersolat Zuhur apabila sudah hampir sampai waktu Asar, solat Maghrib menghampiri waktu Isyak, solat Subuh ketika matahari sudah terbit (subuh gajah).



Berusaha memperbaiki solat menjadi lebih sempurna bukan saja memastikan solat di awal waktu tetapi dilaksanakan secara berjemaah di masjid atau surau dengan menjaga kekhusyukan, bacaan, rukun dan kesempurnaan wuduk.

Rasulullah SAW bersabda: 
“Solat yang paling berat bagi orang munafik adalah solat Isyak dan Subuh. Seandainya mereka tahu apa makna di dalamnya, maka mereka akan mendatanginya sekalipun dengan merangkak.” (Muttafaqun Alaih)



Selain itu, lantunan 'As solatu khairum minan naum'(solat itu lebih baik dari tidur) yang dibaca dua kali hanya disyariatkan pada azan Subuh dan tidak terdapat pada waktu-waktu solat yang lain.




Terdapat banyak kelebihan dalam menunaikan solat Subuh sama ada dari perspektif kesihatan rohani mahupun jasmani. Dari segi kerohanian antaranya:




1.  Waktu solat Subuh itu sendiri mempunyai rahsia yang tidak terjangkau.

Allah SWT mengagungkan waktu Subuh di dalam firmanNya:


"Demi waktu Fajar dan malam yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah) Dan yang genap dan yang ganjil dan malam bila berlalu. Pada yang demikian itu terdapat sumpah (yang dapat diterima) oleh orang-orang yang berakal."

(Surah Al Fajr : 1-5)


Masih dalam perihal waktu, waktu solat ini ialah waktu yang disaksikan oleh para malaikat sebagaimana disahkan oleh pencipta kita dalam firmanNya:



"Dirikanlah sembahyang dari sesudah matahari tergelincir sampai gelap malam dan (dirikanlah pula sembahyang) Subuh. Sesungguhnya sembahyang Subuh itu disaksikan (oleh malaikat). Dan bangunlah pada sebahagian waktu malam serta kerjakanlah sembahyang tahajjud padanya sebagai sembahyang tambahan begimu. Mudah-mudahan tuhanmu mengangkat kamu ke tempat yang terpuji."

(Surah Isra : 78-79)


Rasulullah SAW turut menjelaskan bahawa malaikat penjaga malam akan naik ke langit setelah menyaksikan solat Subuh sebagaimana maksud sabda Rasulullah SAW dari Abu Hurairah RA:



"Kemudian naiklah para malaikat yang menyertai kamu pada malam hari, lalu tuhan bertanya kepada mereka (padahal Dia lebih mengetahui keadaan mereka), "Bagaimana hambaKu ketika kamu meninggalkan mereka?" Mereka menjawab, "Kami tinggalkan mereka di dalam keadaan solat dan kami tinggalkan mereka di dalam keadaan solat juga."

(Riwayat Bukhari)



2.  Perlindungan dan jaminan Allah SWT kepada mereka yang menunaikan solat Subuh. Diriwayatkan dari Junbab bin Sufyan RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:



"Barangsiapa yang menunaikan solat subuh maka dia berada dalam jaminan Allah SWT. Maka jangan mencuba Allah membuktikan janjiNya. Barangsiapa yang membunuh orang yang menunaikan solat Subuh, Allah akan menuntutnya sehingga dia membenamkan mukanya ke dalam neraka."

(Riwayat Tarmidzi dan Ibnu Majah).


Ini kerana dua rakaat solat Subuh yang dilakukan dengan penuh keikhlasan akan menguatkan kebenaran dan mengukuhkan keimanan sepertimana janji Allah SWT di dalam surah Al Hajj ayat 38:



"Sesungguhnya Allah membela orang-orang yang beriman. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang khianat lagi tidak bersyukur." 



Adapun, mereka yang menunaikan solat Subuh berjamaah juga akan bercahaya wajahnya pada hari Kiamat. Rasulullah SAW pernah bersabda:



"Berilah berita gembira kepada mereka yang berjalan ke masjd-masjid dalam kegelapan, bahawa mereka akan mendapat cahaya yang terang pada hari kiamat."

(Riwayat At-Tirmidzi)



3.  Menunaikan solat Subuh akan memudahkan melihat wajah Allah yang mulia. Ini merupakan satu nikmat yang telah dijanjikan di dalam sirah Qiyamah ayat 22-23.



"Wajah-wajah (orang-orang Mukmin) pada hari ini berseri-seri. Kepada Tuhannyalah mereka melihat."



Imam Bukhari menegaskan lagi firman Allah ini dalam sahihnya dengan sanad dari Jabir bin Abdillah RA ia berkata:



"Ketika kami sedang berada di sisi Nabi SAW, ia memandang kearah bulan purnama lalu bersabda: "Sesungguhnya kamu nanti akan melihat tuhan kamu sebagaimana kamu melihat bulan ini atau kamu tidak akan kesusahan untuk melihatNya. Jika kamu sanggup untuk tidak meninggalkan sembahyang sebelum terbit matahari dan sebelum tenggelamnya maka lakukanlah" kemudian beliau membaca ayat ini: "Dan bertasbihlah dengan memuji TuhanMu sebelum terbit matahari dan sebelum tenggelamnya"




4.  Sembahyang Subuh lebih baik daripada dunia dan isinya sebagaimana sabda nabi SAW,



"Sekiranya manusia mengetahui pahala dalam azan dan saf pertama, kemudian mereka tidak boleh mendapatnya selain dengan diundi tentu mereka akan mengundi. Sekiranya mereka mengetahui pahala at-tahjir, tentu mereka akan berlumba-lumba mendapatkannya. Dan sekiranya mereka tahu pahala dalam solat Isyak dan Subuh tentu mereka akan mendatangi kedua-duanya walaupun terpaksa merangkak"

(Riwayat Bukhari)



5.  Menunaikan solat Isyak berjemaah diikuti dengan solat Subuh berjemaah adalah seperti solat sepanjang malam. Adapun bagi mereka yang menunaikan solat Subuh berjemaah, pahalanya seakan-akan berjaga sebahagian malam. Rasulullah SAW bersabda:

"Sesiapa Solat Isyak secara berjemaah seolah-olah dia telah berjaga setengah malam dan sesiapa solat Subuh secara berjemaah dia telah mendapat pahala berjaga sepanjang malam."
(Riwayat Muslim)



Dari sudut sejarah, Rasulullah SAW akan menunggu sehingga pimpinannya telah siap melaksanakan solat Subuh berjemaah kerana ia menyatukan, menaikkan semangat dan mempersiapkan jiwa untuk berperang dijalan Allah SWT. Diantara peperangan yang paling masyhur yang berlaku disubuh hari ialah peperangan kaum Muslimin ke atas kaum Yahudi Khaibar yang berakhir dengan kemenangan.



Bersabda Nabi SAW:

"Hancurlah Khaibar... sesungguhnya jika kita telah menempati halaman sesuatu kaum, maka itulah seburuk-buruk pagi hari bagi orang-orang yang diberi peringatan."




Melalui peristiwa ini jelasnya, generasi yang berjaya dan yang mampu mencapai kemenangan dengan izin Allah SWT adalah generasi yang giat memakmurkan massjid ketika sembahyang Subuh.




Sesungguhnya tidak rugi bagi kita untuk bangun awal setiap pagi bukan sahaja untuk menyahut seruan rohani dan perintah Allah SWT, bahkan, untuk keseimbangan jasmani juga antaranya:




1.  Tingginya gas ozon di pagi hari membantu memulihkan perasaan gugup, mengaktifkan mental dan otot-otot, membersihkan paru-paru dan mebantu peredaran darah sehingga menjadikan tubuh menjadi lebih bertenaga dan cergas.




2.  Sinar matahari pagi memberikan vitamin D iaitu vitamin yang amat diperlukan untuk kesihatan kulit selagi mana tidak keterlaluan.




3.  Permulaan yang baik siap dengan penghargaan yang ditawakalkan kepada Allah SWT akan meniupkan semangat yang luar biasa kepada motivasi diri, memberi ketenangan dan melapangkan dada sehingga apa yang dilakukan mendatangkan daya hasil yang tinggi.




Demikianlah istimewanya solat wajib dipagi hari ini. Selain pembuka tirai hari yang baik, ia hanyalah 2 rakaat tetapi menjanjikan kelebihan yang sangat besar kepada yang ikhlas menjalankan perintah Allah SWT setiap hari.




Marilah kita galakkan diri untuk selalu bangun awal dengan merenung cara-cara yang boleh kita santuni:



1.  Tidur awal selaras motivasi dari firman Allah SWT di dalam surah Ghafir  ayat 61:



"Allah yang menjadikan malam untuk kamu supaya kamu berehat padanya dan menjadikan siang terang benderang (supaya kamu berusaha). Sesungguhnya Allah sentiasa melimpah limpah kurniaNya kepada manusia seluruhnya, akan tetapi kebanyakkan manusia tidak bersyukur."




2.  Berwuduk sebelum tidur untuk memudahkan bangun apabila azan Subuh berkumandang dan berdoa.



Diriwayatkan dari al-Barra' bin Azib RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:



"Apabila kamu hendak berbaring maka berwuduklah sebagaimana kamu berwuduk untuk solat kemudian berbaringlah sebelah kanan, lalu ucapkan: "Ya Allah aku serahkan wajahku padaMu, aku serahkan urusanku kepadaMu dan aku sandarkan belakangku padaMu dengan cara suka atau takut. Tidak ada tempat kembali dan perlindungan kecuali kepadaMu. Ya Allah aku beriman kepada kitabMu yang Engkau turunkan kepada NabiMu yang telah Engkau utuskan."

"kalau kamu meninggal malam itu maka kamu meninggal dalam keadaan suci. Dan jadikanlah doa tadi sebagai ucapan terakhir yang engkau ucapkan."
(Riwayat Bukhari)



Begitu juga membaca ayat kursi sebelum tidur amatlah digalakkan sebagaimana maksud hadis:

"(Dengan ayat kursi tersebut) Allah akan menjagamu dan syaitan tidak akan menghampirimu sampai Subuh."



3.  Jangan tidur dalam keadaan yang terlalu kenyang. Makan berlebihan bahkan tidak dianjurkan pada bila-bila masa namun lebih ditegah sebelum tidur kerana akan melambatkan tidur, mengakibatkan kegelisahan saat tidur dan tidur akan sering terganggu dengan rasa ingin ke tandas. Kesannya badan menjadi penat dan akhirnya susah untuk bangun solat Subuh.




Dengan panduan-panduan untuk bangun Subuh dan kelebihan-kelebihan seperti yang dijelaskan lengkap dengan dalil-dalil kukuh, marilah kita ubah cara hidup kita bagi yang sering terlepas Subuh. Bagi yang tidak putus mendapat fadilat Subuh, teruskanlah dan semoga setiap hari menjadi lebih baik. Sebagai Muslim, wajarlah kita berlumba-lumba untuk tergolong di kalangan mereka yang meraih kelebihan-kelebihan di atas ini. 




Akhir kalam, marilah kita renungi kalam Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA:



"Barangsiapa yang menunaikan solat Subuh berjemaah kemudian duduk berzikir kepada Allah sehingga terbit matahari kemudian solat dua rakaat maka baginya pahala seperti haji dan umrah yang ditunaikan dengan sempurna, dengan sempurna, dengan sempurna!



Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Ditulis oleh:

Ustazah Azeemah Mustafa, BA (Hons) Pengajian Islam (Perbandingan Agama), MA Sains Kemanusiaan (Komunikasi Massa), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Ustaz Rafiuddin Ismail, BA Syariah, Universiti Al Azhar, Mesir.

Salam sayang dari
Syila Rapal

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.